Rabu, 15 April 2009

SEUNTAI KATA, SECUIT RASA

Assalammualaikum,

Syukur Alhamdulillah kerana kita masih bernafas di bumi tuhan ini setelah diberi tidur malam yang lena hingga terlalu liat untuk bangun di sepertiga malam bersolat sunat tahajud memohon rahmatNya. Namun Allah swt masih memberi kita ruang dan peluang meneruskan hidup di bawah perlindungan dan pertolonganNya sentiasa.

Sesungguhnya bukan sukar menjadi hambanya yang taat dan umat Muhammad SAW yang setia mengikut sunnah baginda. Bukan sekadar sunnah baginda ditunjukkan pada fizikal semata-mata sebaliknya sebaliknya secara rohani. Di tokok dengan keimanan yang kukuh, pengajian Islam yang diwajibkan, penghayatan al-Quran serta penting untuk kita menghayati erti al-Quran sebagai pedoman. Janganlah pula semua itu ditokok tambah dan diwujudkan fatwa baru yang tidak berasas.

Dosa-dosa yang bertaburan dan berentetan dalam diri kita eloklah dilabuhkan tirainya. Dunia pun kian tua, tidak terlarat memikul bebanan penghuninya yang leka dan alpa sentiasa, bahkan gunung-ganang telah mula merekah, lautan telah memuntahkan tsunami dan sangkakala sedang menanti waktu untuk bersuara.

Bukan niatku untuk memandai-mandai tetapi ketakutanku pada balasanNya menghantui segenap lapik dinding dadaku. Sempatkah aku mengumpul segenap amal dan pahala untuk berdepan dengan akhiratNya nanti. Sedangkan aku cuma insan biasa yang kadangkala terlupa untuk menadah tangan memohon keampunanNya atas satu kesilapan kecil maupun besar.

Sudahkah cukup pahalaku dalam mentaati ibubapaku, pahala dalam mentaatiMu dan rasulMu ya Allah.. Sudahkah cukup pahalaku dalam mendidik adik-adikku, darah dagingku sendiri agar menjadi anak-anak yang soleh dan solehah? Sudahkah aku mengingatkan adik-adikku agar bersyukur dalam apa jua keadaan? Aku tak mahu adik-adikku, sedarah sedagingku leka dibuai mimpi dunia yang asyik dan palsu . Aku juga tak mahu sesiapapun di luar sana turut leka ditipu anganan dan hanyut dalam keseronokan tanpa batas.

Apa ada dalam kebahagiaan palsu itu yang akhirnya memakan diri kita semua kelak. berbaliklah kita pada mula kejadian kita, dari bayi hingga kini. Bukankah ibu bapa kita menghendakkan yang terbaik buat kita? Juga guru-guru kita yang tak jemu mendidik kita dari A hingga Z, dari buta huruf sehingga berjaya menulis 'ayat-ayat cinta'. Maka mudah-mudahan ayat-ayat cinta itu kita tujukan khusus buat Allah swt dan nabi Muhammad SAW serta buat ibu bapa kita juga. Teringat aku pada nyanyian seorang guruku di sekolah menengahku dulu iaitu lagu 'Ayah dan Ibu' nyanyian allahyarham Sudirman. Nyanyian itu dinyanyikan bersama pelajar-pelajar sewaktu perhimpunan. Antara liriknya;

Ayah dan Ibu, (2x),

itulah permulaan kami,

Dapat melihat bulan dan matahari

aaaaaaaaaaaaaa.....

Maksudnya, tanpa ayah dan ibu tiadalah kita di dunia ini. Al-Fatihah juga buat Allahyarham guruku itu, CIKGU TAHIR yang telah kembali ke Rahmatullah baru-baru ini. Terima kasih juga kepada beliau kerana pernah memberiku peluang merasai bagaimana perit getirnya bergelar seorang guru pada cuti semesterku setahun yang lalu.
Wassalam...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan